Sejarah Seni Bordir/ Sulaman




Walaupun sudah beribu tahun berlalu, sulaman tangan yang mula terkenal sejak 1700 masih menjadi ikutan manakala teknik serta coraknya juga masih tidak banyak perbezaan sehingga ke hari ini.

Melalui pembacaan yang dilakukan Rosita dan dirumus ke dalam bukunya, Sulaman Manik Kristal dan Benang, asal-usul sulaman itu dikaitkan dengan keinginan manusia yang ingin menambah keceriaan pada persekitaran mereka.

Menerusi contoh fabrik terawal sejak 3000 sebelum Masihi hingga ke penghasilan benang 3-Dimensi masa kini, manusia melakukan perubahan dengan menambah kerja tangan sehingga membabitkan sulaman pada pakaian, kelengkapan persendirian dan kain linen.

Budaya Barat sering mengaitkan jarum dan benang dengan wanita. Namun, jika dilihat pada asalnya mereka menyerahkan tugas berkenaan kepada kaum lelaki di negara Timur dan Barat yang menjalankan latihan selama lapan tahun sebelum boleh digelar pakar dalam kraf mereka.

Setiap negara mempunyai gaya dan teknik yang berbeza seperti seni sulaman hardanger yang dihasilkan orang Norway manakala hedebo pula diperkenalkan di Denmark.

Di Itali, mereka menghasilkan teknik terperinci untuk pakaian pengantin dan perayaan yang menggunakan rekaan jahitan sulaman dengan warna cerah.

Setiap negara mempunyai corak yang sama tetapi diolah dengan gaya, jahitan dan kombinasi warna berbeza. Walaupun orang Mesir mengamalkan sulaman menggunakan benang putih yang berlatarkan fabrik rona sama, kemahiran sulaman di zaman itu begitu terperinci dan tidak ramai yang dapat melakukannya pada hari ini.

Kerja tangan dresden diperbaiki di Jerman dengan menambah sulaman halus kerawang menggunakan jahitan fabrik dan corak terperinci.

Tidak kurang hebatnya pada seni sulaman ayrshire yang dipercayai dari Perancis tetapi lebih dikenali di Scotland.

Sulaman Inggeris dari England dipanggil whitework yang menggunakan corak bungaan, daun dan dahan. Kemudian ia ditambah dengan sulaman kerawang tangan untuk memperbaiki hasil kerja tangan mereka yang sebenarnya dipercayai berasal dari Czechoslovakia.

Ia diberi nama seni sulaman madeira kerana dihasilkan di Kepulauan Madeira, Afrika Selatan dan dilakukan secara komersil untuk dijual kepada pelancong.

Di India turut mengamalkan whitework dan pekerjanya begitu mahir menggunakan jarum sehingga tidak menembusi kain sebaliknya memisahkan benang pada dasar dan hanya boleh dilihat pada permukaan saja.

Malangnya, aktiviti sulaman yang perlu dilatih sejak kecil itu tidak lagi diamalkan hingga ke hari ini. Namun, negara berkenaan masih menghasilkan sulaman yang begitu halus di rantau ini bagi tujuan eksport.

Mengamalkan sulaman dua belah yang mengambil masa bertahun lamanya untuk disiapkan, kerja tangan yang dihasilkan dari China itu gemar menampilkan corak berlainan pada dua bahagian iaitu depan dan belakang. Mereka menggunakan kain sutera dan hasilnya mampu mencecah ribuan ringgit bergantung kepada saiznya.

Malaysia pula memiliki kekayaan seni benang tenunan seperti sulaman songket terutama di Terengganu dan Perak. Perkataan songket bermakna menyulam menggunakan benang emas dan perak manakala songket yang tidak disulam tetapi ditenun rapi dengan diselang seli benang sutera secara membujur.

Sumber: harian metro

Sejarah Seni Bordir/ Sulaman Sejarah Seni Bordir/ Sulaman Reviewed by Tag on Desember 29, 2019 Rating: 5

Tidak ada komentar